Scenius: Sekumpulan yang membentuk kebijaksanaan
Bagaimana berkumpulan dapat membentuk idea yang kreatif & kritis.
Sekumpulan pensyarah matematik
Aku masih ingat lagi, semasa aku masih belajar di matrikulasi, aku melihat beberapa orang pensyarah matematik berbincang dalam kumpulan. Tiada buku, tiada pena, tiada meja. Sekadar berborak dalam bentuk bulatan kecil.
Aku hanya pernah melihatnya sekali di hadapan mata apabila aku hendak menyerahkan tugasan matematik. Aku tidak pasti sama ada mereka berborak berkenaan permasalahan matematik, dari segi akademik ataupun sebaliknya. Boleh jadi juga berkenaan isu-isu semasa1. Mungkin juga sesi memerah otak?
Salah seorang pensyarah aku adalah ahlinya, Tn. Azman, jadi aku perlu menyerahkan tugasan tersebut di hadapan mereka. Segan? Sedikit. Semasa itu berada di dalam kubikel pensyarah.
Terdapat satu sudut meja yang ditetapkan untuk tugasan itu dikumpulkan. Salah seorang dari mereka berkata, “Alhamdulilah”.
dan pensyarah aku kata, “Are you really want to send over this assign earlier?”
Aku menghantar tugasan terlalu awal tetapi aku yakin dengan jawapannya2.
Entah mengapa peristiwa ketika itu melekat pada pemikiran aku. Itu adalah kali pertama aku berhadapan keadaan sedemikian. Dan ia adalah pengalaman yang mengagumkan. Begitu besar penghormatan aku terhadap pensyarah-pensyarah yang mengajar.
Membentuk kumpulan Scenius
Jadi, apa perkaitan peristiwa sebelum ini dengan kumpulan “Scenius” ini?
“Scenius” adalah istilah yang diperkenalkan oleh Brian Eno, seorang pengeluar muzik dan pemikir kreatif, untuk menggambarkan kebijaksanaan kolektif yang timbul daripada kerjasama antara individu-individu yang berbakat dalam satu persekitaran yang dinamik. Berbeza dengan konsep “genius” yang sering kali merujuk kepada individu yang luar biasa, “scenius” menekankan bahawa kehebatan dan inovasi sering kali merupakan hasil daripada interaksi dan kolaborasi dalam kumpulan.
Dalam peristiwa pensyarah matematik yang aku ceritakan tadi, mengingatkan aku bagaimana scecius itu berfungsi. Apabila individu-individu dengan kepakaran dan pengalaman yang berbeza berkumpul dan berkolaborasi, kita dapat memanfaatkan kepelbagaian perspektif dan pengetahuan kita dalam menghasilkan idea-idea yang lebih kreatif dan kritis. Dalam kes ini, walaupun aku tidak pasti apa konteks perbincangan, namun melalui perbincangan kita berupaya membuahkan penyelesaian baru atau membangunkan konsep-konsep suatu perkara yang lebih mendalam. Dan ia tidak perlu berlaku di meja mesyuarat.
Scenius bukan sekadar tentang kumpulan yang berkumpul, tetapi juga tentang bagaimana persekitaran tersebut menyokong dan memupuk kreativiti. Ia melibatkan elemen-elemen seperti kepercayaan, saling menghormati, dan kemahuan untuk berkongsi pengetahuan. Dalam suasana yang menyokong, ahli-ahli kumpulan dapat saling memberi inspirasi dan dorongan, yang seterusnya memperkukuhkan kebolehan mereka untuk mencipta dan berinovasi.
Melalui pembacaan aku sebagai sumber tambahan, pada 1 September 2021, saudara @_notakaki ada berkongsikan perihal ini. Katanya, apabila kita melihat pada sejarah sendiri, individu-individu yang kreatif, atau yang kita gelarkan mereka sebagai genius ini selalunya akan berada dalam kumpulan yang dipenuhi oleh mereka yang kreatif atau genius juga.
Contoh corak yang paling jelas kita boleh lihat adalah Paypal Mafia,
Atau dalam bidang muzik, scecius dapat dilihat melalui kejayaan kumpulan muzik seperti The Velvet Underground atau Brian Eno sendiri. Kumpulan-kumpulan ini bukan sahaja terkenal kerana bakat individu mereka tetapi juga kerana mereka beroperasi dalam persekitaran kreatif yang menyokong eksperimen dan inovasi.
Sama juga seperti aku katakan dalam bidang matematik atau mana-mana disiplin lain, scenius berfungsi dengan cara yang serupa. Perbincangan, pertukaran idea, dan kolaborasi antara ahli-ahli dalam kumpulan membantu memupuk kreativiti dan menghasilkan solusi yang mungkin tidak akan timbul jika dibandingkan dengan bekerja secara bersendirian. Ini menjadikan scenius satu konsep penting dalam memahami bagaimana kebijaksanaan kolektif dapat membentuk dan memajukan pemikiran kritis dan inovatif.
Jadi, aku rumuskan begini
Konsep scenius mengajar kita bahawa kehebatan bukanlah hasil usaha individu semata-mata, tetapi juga merupakan produk daripada kerjasama dan interaksi dalam kumpulan. Dalam konteks pensyarah matematik yang aku ceritakan, walaupun perbincangan mereka mungkin kelihatan tidak formal, ia adalah contoh bagaimana scenius berfungsi dalam menghasilkan idea-idea yang berharga dan memperkaya pengetahuan kita. Dengan memahami dan mengamalkan konsep scenius, kita boleh lebih menghargai kepentingan kerjasama dan persekitaran yang menyokong dalam mencapai kejayaan dan inovasi.
\[\cdot~\cdot~\cdot\]